Tuesday, May 17, 2011

Akar Dani

Pokok Akar Dani ialah pokok menjalar yang memiliki rumpun-rumpun bunga merah yang menarik. Ia boleh didapati di belukar atau hutan kedua Filipina, India, dan Malaysia,  juga di banyak kawasan yang lain di dunia, baik sebagai pokok hiasan yang ditanam mahupun sebagai pokok liar. Nama botaninya Quisqualis indica, dengan nama genusnya Quisqualis membawa pengertian "Apakah itu?" dalam bahasa Latin. 
Pokok Akar Dani ialah pokok menjalar berlignin yang boleh mencapai antara 2.5 meter hingga 8 meter tingginya. Daunnya berbentuk bujur tirus, dengan hujungnya runcing dan pangkalnya bulat. Daun tersebut yang panjangnya 7-15 sentimeter tumbuh dalam susunan bertentangan. Bunganya wangi dan berbentuk tiub berwarna pink, dengan warnanya berbeza-beza dari putih ke merah muda hingga merah. Buahnya 30-35 milimeter panjangnya, dan rasanya seakan-akan buah badam apabila matang. Ia berbentuk elips dan memiliki lima sayap yang ketara. Buah pokok ini disebarkan melalui air. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok "Drunken Sailor"
Pokok Akar Dani digunakan khususnya untuk dijadikan perubatan tradisional. Rebusan akar, biji atau buahnya boleh dipergunakan sebagai antihelmintik serta juga untuk mengurangkan cirit-birit. Rebusan buahnya juga boleh digunakan untuk merawat nefritis serta juga sebagai ubat kumur, manakala daunnya boleh digunakan untuk mengurangkan sakit yang diakibatkan oleh demam. Akarnya digunakan untuk merawat reumatisme (sengal-sengal tulang), manakala biji dari lenggainya digunakan untuk merawat cacing bulat dan cacing peniti kerana ia boleh meracuni parasit tersebut dan membunuhnya semasa di dalam saluran penghadaman.

No comments: