Friday, August 23, 2013

Murah Hati Ganda Rezeki

HARTA nikmat yang dipinjamkan ALLAH untuk kita manfaatkan.  Segala-galanya berasal daripada ALLAH dan akan dikembalikan kepadaNYA.

Kita bertanggungjawab untuk memelihara, melindungi dan berkongsi dengan yang berhak. ALLAH menjelaskan : "Orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan marah dan memaafkan (kesalahan) orang.  ALLAH menyukai orang yang berbuat kebajikan (surah Ali Imran 3:134)

Senangnya Sedekah

Islam menggalakkan budaya bermurah hati sehingga termaktub dalam salah satu daripada lima rukun Islam iaitu ZAKAT.

Selain itu sedekah juga menunjukkan kemurahan hati.  Ramai yang menganggap sedekah biasanya dalam bentuk material seperti wang, harta dan kebendaan.

Bukan hanya itu!! Sedekah boleh dalam bentuk:
* Sebentuk senyuman
* Berkhidmat untuk orang lain
* Mengalih objek daripada jalanan
* Memberi panduan atau nasihat

Beri yang terbaik!

Kemurahan hati dilihat sebagai satu pelaburan yang bijak pada masa hadapan.  Kemurahan hati boleh membuka jalan ke syurga kerana dengan setiap perbuatan yang mulia mendatangkan pahala yang besar dari ALLAH.

Kemurahan hati bukan memberikan sesuatu yang tidak lagi berguna dan tidak diingini lagi tapi dalam memberi sesuatu yang kita suka dan sayang.

ALLAH berfirman : " Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepaa kamu) kecuali dengan memejamkan mata padanya   (surah al-Baqarah 2:267)

Maka sebaik-baik pemberian ialah barang yang kita sayang.

Memberi untuk Menerima

Tuhan menerangkan dalam Al-Quran bahawa pemberian yang disertai sifat murah hati, dengan niat kerana ALLAH, DIA akan menggantikannya.  ALLAH mengetahui apa-apa yang ada alam hati manusia.

Yakinlah sifat murah hati akan terbalas.  ALLAH memberi jaminan : "Katakanlah :'Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki dan menyempitkan bagi sesiapa yang dikehendakiNYA.  Apa-apa saja yang kamu dermakan, ALLAH akan menggantikannya dan DIAlah sebaik-baik Pemberi rezeki'" (Surah Saba' 34 : 39)

Sifat keekut tidak boleh ada dalam sanubari umat Islam kerana ALLAH telah menjamin bahawa harta kita tidak akan habis atau luak jika kita berikan kepada orang lain.

Malahan ALLAH akan menambah keberkatan dan pemberian kita akan diganti dan ditambah.

Kita akan bahagia apabila mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain.  Kita akan menerima pertolongan selepas kita menolong orang lain.  Kita akan bertambah ilmu dengan berkongsi ilmu dengan orang lain.  Inilah yang dinamakan konsep "MEMBERI UNTUK MENERIMA".




petikan dari majalah SOLUSI 

No comments: